Singapura putus akses internet institusi penjagaan kesihatan

SINGAPURA: Republik ini memutuskan sambungan internet daripada komputer di pusat penjagaan kesihatan awam bagi mencegah serangan siber yang mengakibatkan pencerobohan data peribadi, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

Negara itu mula menyekat akses laman web untuk kakitangan awam pada 2016 bagi melindunginya daripada serangan siber, namun tidak melaksanakannya di institusi penjagaan kesihatan awam.
Pegawai masih boleh melayari laman web menggunakan komputer peribadi atau peranti disediakan agensi.
Dalam serangan terbaharu Jun lalu, penggodam mencuri maklumat peribadi lebih 1.5 juta pesakit, termasuk preskripsi ubatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam apa disifatkan kerajaan 'serangan siber sengaja, disasarkan dan terancang.'
Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean berkata, kerajaan melakukan secara senyap tindakan memutuskan sambungan internet komputer kakitangan di pusat jagaan kesihatan.
"Kami boleh dan sepatutnya melaksanakan pemisahan pelayaran internet dalam sistem penjagaan kesihatan awam, sama seperti yang dilaksanakan di sektor awam kami.
"Ini seterusnya berupaya mengganggu rangkaian membunuh siber penggodam dan mengurangkan kawasan yang terdedah serangan. Tindakan ini sudah dilakukan," kata Chee Hean dalam ucapan dalam satu persidangan kejuruteraan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa langkah itu tidak dilakukan lebih awal.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan semalam berkata, pemutusan sistem itu akan mencetuskan 'kesulitan buat pesakit dan kakitangan penjagaan kesihatan berikutan ketiadaan hubungan sistem IT yang menggunakan internet.'
Kerajaan bagaimanapun tidak mendedahkan siapa dalang serangan dan pakar keselamatan siber berkata, masih terlalu awal mengenal pasti pelakunya. -Reuters
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==