1MDB dan PTPTN hangatkan perbahasan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu siasatan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghangatkan sesi perbahasan Persidangan Dewan Rakyat yang berakhir jam 9 malam ini.

Isu 1MDB dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam perbahasannya yang antara lain mengaitkan wang dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah punca peruntukan pembangunan untuk Jelutong tidak dapat dilaksanakan.
Beliau turut mengaitkan wang yang dirampas itu sebagai wang rakyat yang diselewengkan, sekali gus menyebabkan beberapa pembangkang bangun dan memohon beliau tidak meneruskan tuduhan itu.
Antara yang lantang membantah Datuk Ismail Mohd Said (BN-UMNO Kuala Krau), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong) dan Datuk Noraini Ahmad (BN-UMNO Parit Sulong).
Beberapa kali mereka memohon mencelah tetapi tidak diberi laluan oleh Rayer sehingga sesi perbahasan terganggu, menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, memberi tambahan masa kepada Rayer.
Sementara itu, Shamsul Anuar dalam perbahasannya membangkitkan kebimbangan beliau terhadap tindakan kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN yang akan menyebabkan tabung itu kehilangan kutipan bayaran sebanyak 50 peratus.
Beliau juga menyatakan kebimbangan dengan tindakan pengisytiharan muflis bagi peminjam yang gagal buat bayaran oleh kerajaan.
"Sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah hanya dua orang saja pernah diisytihar muflis kerana gagal membayar balik pinjaman.
"Sekarang ini kerajaan hendak ambil tindakan mufliskan orang...adalah malang untuk anak muda Malaysia kerana sukar dapat PTPTN berikutan kekurangan dana akibat langkah membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman," katanya.
Seramai 19 orang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan hari ini yang dimulakan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dan diakhiri Hassan Abdul Karim (PH-PKR Pasir Gudang).
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==