Fikir dulu keselamatan sebelum menari Keke

KUALA LUMPUR: Mengaku aksi tarian 'Keke Challenge' di jalan raya boleh mengundang bahaya, artis tempatan yang berkongsi video melakukan gerakan viral itu menasihatkan orang ramai memikirkan aspek keselamatan sebelum merakamkan aksi berkenaan.

Mendakwa mengambil langkah berjaga-jaga sebelum merakam tarian itu, artis terbabit akur peringatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kegilaan baharu itu yang dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan dan kemalangan kepada pelaku dan pihak lain.
Pelakon Janna Nick berkata, dia merakamkan aksi tarian 'Keke Challenge' di litar trek kereta di Sepang.
"Cabaran Keke ini tidak merbahaya jika dibuat di tempat selamat seperti di kawasan rumah. Saya merakamkan video itu trek kereta di Sepang yang selamat.
"Namun, perlu diingatkan, aksi ini boleh bertukar bahaya jika ada keinginan menghasilkan video yang berbeza. Mungkin bagi menghasilkan video lebih kreatif dan viral, maka ia boleh menimbulkan masalah," katanya kepada BH Online.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya mengingatkan semua pihak terutama anak muda yang mahu merakamkan aksi tarian 'Keke Challenge' mengamalkan sikap 'beringat sebelum kena'.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu perlu bagi memastikan aksi individu terbabit tidak mengundang kemudaratan seterusnya mengakibatkan kecederaan dan kemalangan.
'Keke Challenge' memerlukan penarinya melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak, seterusnya menari mengikut alunan lagu, In My Feelings yang dinyanyikan Drake.
Tarian itu dicetuskan pelawak, Shiggy menjadi ikutan apabila rakaman video yang dimuat naiknya meraih lebih lima juta tontonan dalam tempoh singkat.
Ia terus meledak selepas selebriti seperti Will Smith dan Ciara turut meniru aksinya.
Kegilaan baharu yang tular di media sosial itu bukan hanya popular di luar negara, malah ramai artis tempatan turut menunjukkan aksi mereka dalam pelbagai gaya.
Janna berkata, aksi Keke tidak semestinya perlu dilakukan di jalan raya.
"Tak semestinya dirakam di jalan raya, cuma tarian harus mengikut rentak lagu. Jadi, jika tidak menggunakan kereta pun tidak mengapa," katanya.
Pelakon, Fatin Afeefa berkata, dia merakamkan aksi tarian itu di kawasan perumahan dengan memeriksa keadaan lalu lintas.
"Tiada kereta lain lalu-lalang di kawasan kami merakamkan video itu.
"Saya tahu berfikir dan takkanlah saya mahu membahayakan diri sendiri. Memang kebanyakan orang merakamkan 'Keke Challenge' di jalan raya yang sibuk, tapi tidak bagi saya.
"Ini kerana saya tahu bahaya merakamkan video di kawasan yang sesak dengan kereta," katanya.
Fatin berkata, dia faham polis mengambil berat mengenai isu keselamatan orang ramai.
"Jadi, saya nasihatkan kalau hendak merakamkan video aksi Keke, lebih baik di kawasan selamat," katanya.
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam setuju dengan nasihat polis agar individu yang mahu menyahut cabaran tarian Keke memikirkan aspek keselamatan bagi mengelak musibah.
"Jika kita melakukannya di kawasan selamat, ia tidak menjadi masalah.
"Saya merakamkan aksi Keke ketika menaiki buggy di hotel. Satu lagi video dirakamkan ketika berada dalam bonet kereta dengan kenderaan itu tidak bergerak. Saya rancang semuanya sebelum merakam.
"Bagi saya, tiada masalah untuk sesiapa hendak melakukan aksi itu asalkan tidak membahayakan keselamatan diri dan orang lain. Kalau boleh, lakukannya di kawasan selamat," katanya.
Penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz menasihatkan orang ramai memikirkan aspek keselamatan jika mahu melakukan cabaran tarian Keke.
"Saya melakukan cabaran Keke di kawasan perumahan yang dikawal dan tidak banyak kereta lalu-lalang. Tidak salah mengikut trend, cuma keselamatan harus diutamakan.
"Saya lihat banyak video dimuat naik di media sosial. Ada antara pelaku merakamkan aksi Keke di jalan raya tanpa memikirkan keselamatan diri. Fokus utama mereka hanyalah menghasilkan video unik," katanya.
Penyanyi, Irfan Haris juga menasihatkan orang ramai mengutamakan keselamatan diri sebelum menyahut cabaran tarian Keke.
"Saya mencuba aksi Keke selepas melihat video penyanyi, Ismail Izzani di Instagram. Aksi saya itu dirakam abang di taman berhampiran kawasan rumah.
"Saya tiada niat bersaing, sebaliknya, sekadar suka-suka. Saya juga memastikan tiada kereta lalu ketika video dirakamkan. Utamakan keselamatan diri dan jangan mengikut trend semata-mata," katanya.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==