Gajah ditemui mati di Tongod

KOTA KINABALU: Seekor gajah jantan berusia antara tiga hingga empat tahun ditemui mati di Kampung Karamuak, Tongod, Isnin lalu oleh sepasukan renjer Hidupan Liar pada jam 7.40 pagi.

Bangkai gajah berusia antara tiga hingga empat tahun itu ditemui sepasukan renjer Hidupan Liar pada jam 7.40 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas melakukan kawalan gajah di kampung itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh, berkata pasukan renjer itu ketika dalam perjalanan pulang selepas melakukan kawalan gajah di kampung berkenaan, tersadung bangkai gajah terbabit di seberang jalan.
"Satu pasukan dihantar hari ini untuk menyiasat dan melakukan bedah siasat bagi mencari punca kematian gajah itu dan kita menemui luka pada pinggul kanan dan serpihan peluru di dalam perutnya.
"Sebahagian usus gajah terbabit koyak dan terdapat banyak pendarahan dalaman yang teruk di bahagian perut sehingga menyebabkan saluran darah rosak," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Siti Nur'Ain berkata, kematian gajah itu disebabkan pendarahan dalaman yang teruk akibat serpihan peluru terbabit.
"Kalau dilihat kedudukan kecederaan serta serpihan peluru, mungkin gajah itu ditembak dari jarak dekat dan
menurut maklumat, kumpulan gajah itu berada di Kampung Karamuak pada bulan lalu.
"Pasukan penyiasat akan terus menyiasat bagi mencari individu yang bertanggungjawab membunuh gajah itu," katanya.
Ini adalah kes kematian gajah yang keempat di pantai timur Sabah dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas seekor gajah Pygmy Borneo yang cedera akibat terkena jerat mati di Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan pada 11 Julai lalu, tidak lama selepas diselamatkan dari Sapagaya, Lahad Datu.
Pada 16 Julai lalu, bangkai seekor gajah jantan ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Low Woo Thien di Ulu Segama, Lahad Datu.
Ini disusuli bangkai anak gajah jantan ditemui dengan kesan keretakan pada tengkorak kiri, dipercayai akibat diserang sekumpulan gajah lebih besar di hutan simpan Kuamut, Kinabatangan, Khamis lalu.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==