UMNO turunkan calon tempatan?

SHAH ALAM: UMNO dikatakan bakal menurunkan calon tempatan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Menurut sumber, antara nama yang disebut sebagai calon adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar.
Nama Ketua Wanita UMNO Kota Raja, Suhaila M Zin dan ahli jawatan kuasa Bahagian Tambahan Kota Raja, Mohd Ali Zakaria, dipercayai turut dikemukakan kepada kepemimpinan tertinggi untuk pertimbangan sebagai calon PRK Sungai Kandis.
"Calon tempatan menjadi keutamaan UMNO kerana lebih mengenali penduduk dan kawasan di situ.
"Penduduk mahukan calon tempatan yang dekat dengan mereka untuk menjadi wakil rakyat mewakili mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
Sementara itu, Kamaruzzaman ketika dihubungi memaklumkan tidak akan bertanding bagi PRK Sungai Kandis.
"Saya rehat dulu. Bagi calon kepada orang lain. Insya-Allah Presiden UMNO akan umumkan nanti," katanya ringkas.
Mohd Ali yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor, menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.
"Setakat ini, saya tidak dimaklumkan apa-apa berhubung siapa yang menjadi calon dalam PRK Sungai Kandis.
"Walaupun kita (UMNO) tidak lagi berkuasa, kita masih ada tenaga untuk membantu penduduk di Sungai Kandis," katanya.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==