Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam isu kematian biarpun berbeza agama apatah lagi politik, tidak seharus­nya terdapat rasa kebencian yang disimbahkan.
“Saya mengucapkan takziah atas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya, awal pagi ini.
“UMNO tidak boleh terima sesiapa sahaja dalam kalangan ahlinya yang mengeluarkan kenyataan berupa seranah, biarpun semasa ha­yatnya mendiang mungkin pernah melakukan kesilapan de­ngan menghamburkan kata-kata kesat berupa cacian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Biarpun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada tindakan Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Rafii.
Mohd. Razlan dikritik selepas mengeluarkan kenyataan menghina Tien Chee menerusi Twitter, namun beliau telah memohon maaf.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) bersedia meletakkan ca­lonnya setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan secara rasmi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.
“Calon yang akan dipilih ke­lak akan ditentukan setelah perbincangan mengenai perkara ini dalam mesyuarat parti-parti komponen BN.
“Calon yang bertanding akan dipilih daripada nama-nama yang akan dikemukakan oleh parti komponen yang meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam catatan di Facebook miliknya berkata, UMNO membantah sekeras-kerasnya keputusan Parlimen Israel meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tanah Yahudi semalam yang melucutkan hak rakyat Palestin ke atas wilayah nenek moyang me­­reka.
Beliau berkata, pihaknya mempu­nyai pendirian sa­ma dengan negara-negara lain yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Yahudi tersebut.
Katanya, dasar ala apartheid ini juga menghapuskan peruntukan Perlembagaan yang mengiktiraf bahasa Arab sebagai bahasa rasmi negara itu serta Palestin.
“Ia turut mengiktiraf Baitulmuqaddis atau Jerusalem sebagai ibu negara baru Israel yang memadamkan sebarang bantahan umat Islam dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap isu itu.
“Tindakan keterlaluan rejim Yahudi ini sama sekali bertentangan dengan Perisytiharan Balfour 1926 yang cuma menyebut Yahudi berkongsi bumi Palestin sebagai tempat tinggal bersama,” katanya.
Rejim Zionis melalui Knesset iaitu Parlimen bagi negara haram Israel meluluskan RUU Tanah Yahudi yang mentakrifkan Israel sebagai negara kepada bangsa Yahudi.
RUU itu diluluskan dengan 62 undi menyokong manakala 55 lagi menentang langkah yang menjadikan Hebrew sebagai bahasa kebangsaan dan mentakrifkan kewujudan komuniti Yahudi sebagai kepentingan negara.
Bahasa Arab yang sebelum ini dianggap sebagai bahasa rasmi kebangsaan hanya diberikan ‘status istimewa’.
Ahmad Zahid berkata, biarpun ahli Knesset berbangsa Arab menentang akta itu, mereka terpaksa akur dengan kuasa majoriti Ahli Parlimen Yahudi yang semuanya mengundi menyokong RUU berkenaan.
Menurutnya, RUU itu dikhuatiri akan mencetuskan bantahan serta keganasan yang lebih hebat di Palestin.
“Ini sudah pasti digunakan pasukan keselamatan Israel sebagai satu ‘lesen’ untuk terus membunuh orang Palestin yang menentang mereka.
“Dengan itu, UMNO menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar mengutuk perbuatan tidak bertamadun ini serta mendesak Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam, PBB dan badan-badan dunia yang berteraskan keamanan sejagat agar mendesak Tel Aviv mengkaji semula rang undang-undang itu dan menghormati pandangan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid memberitahu, ahli Parlimen pembangkang juga mendesak Wisma Putra agar meneruskan dasar kerajaan yang menentang sebarang bentuk tindakan menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk terus menuntut hak sebagai negara yang berdaulat.