“Harap tak ada yang buat ‘Keke Challenge’ pergi solat Jumaat”

PETALING JAYA: Video tarian ‘keke challenge’ menjadi kegilaan ramai ketika ini sehingga menjadi ikutan di media sosial.

Malah, trend dari Barat yang menggunakan lagu single terbaru nyanyian Drake berjudul In My Feelings ini turut dilakukan anak-anak muda dan selebriti tempatan.
Fenomena video ini menarik perhatian seorang pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin yang terkesan dengan insiden seorang budak perempuan yang mahu aksi tarian geleknya dirakamkan bapanya.
“Tadi aku terkesan bila aku nampak depan mata budak perempuan marah ngomel- ngomel dengan bapa dia sebab bapa dia tak rakam betul betul masa dia tengah joget nak buat ‘keke challenge’ entah apa benda entah.
“Aku cuma nak cakap ingat dalam Al-Quran ada Surah An Nisa, Surah yang Allah SWT buat khusus untuk memuliakan dan menghormati wanita. Nak menari berjoget lentik macam mana pun buat dalam rumah depan orang yang halal,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Instagramnya pada Khamis.
Status PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim turut dimuat naik bersama sebuah video beliau memberi pandangan dan teguran sinis kepada mereka yang membuat ‘keke challenge’.

Sindiran itu berikutan nasihat yang diberikan untuk perkara yang sering menjadi kemarahan dan rasa tidak puas hati segelintir netizen.
“Kau orang ni tak boleh nak ditegah-tegah, tak boleh dimarah-marah. Lagi kita tegah, kita marah, lagi dia buat. Berjogetlah berjoget, biar orang boleh cuci mata tengok kau orang berjoget-joget ni. Berjogetlah, tak ada masalah.

“Jangan berjoget masa perlahan saja, masa kereta tengah laju, tekan minyak 120 (kilometer sejam), berjoget dan menari puas-puas. 
“Jangan buat dalam rumah, bagi orang nampak bagi semua orang tengok kita ni berjoget. Biar bini kita tu buat, biar kakak kakak orang perempuan buat. Lagi kita tegah, lagi kita marah, lagi dia buat,” sindir PU Amin.

Dalam keterangan video itu, PU Amin turut menyatakan sabda Rasulullah SAW bahawa adalah baik meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.
Menerusi status terbaharu pada pagi Jumaat, PU Amin berkata, trend tersebut hanya merosakkan nilai orang Melayu beragama Islam yang membuat video berkenaan.
Beliau turut berharap video ‘keke challenge’ yang kebiasaannya dirakam dari kereta yang sedang bergerak tidak dibuat dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Aku minta maaf banyak banyak kalau ramai marah, ramai kata ketinggalan zaman. Hari ni hari Jumaat, harap tiada siapa yang berjoget buat benda ni masa nak pergi Solat Jumaat,” katanya.

Sumber : mstar


close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==