Remaja dibunuh kerana dadah

Tidak puas hati dengan hasil penjualan dadah dipercayai punca seorang remaja dibunuh sebelum mayatnya ditanam separuh badan di sebuah kebun durian dekat Kangkar Pulai di sini, 5 Julai lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu dikata
kan memulangkan wang hasil penjualan dadah yang tidak mencukupi daripada jumlah sepatutnya, menyebabkan berlaku perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah apartmen di Bukit Indah di sini, pada 29 Jun lalu.
Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Gerald Lim Jin Jie itu dikatakan diarah meminum minuman campuran air bergas mengandungi dadah sebelum dia pengsan.
"Akibat tidak berpuas hati, suspek memukul dan menjerut leher mangsa sehingga mengakibatkan kematian di tempat kejadian.
"Mayat itu kemudian dibawa dengan Toyota Camry menuju ke arah Ulu Choh sebelum menukar kenderaan Ford Ranger dan terus membawa mayat terbabit ke kebun durian berkenaan untuk ditanam," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya berjaya menahan 17 individu termasuk enam wanita bagi membantu siasatan.
Katanya, semua suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan antara 7 Julai hingga Isnin lalu di beberapa rumah dan hotel sekitar daerah ini.
"Kita turut merampas beberapa barangan iaitu 23 telefon bimbit, pelbagai barangan kemas, wang tunai Ringgit Malaysia dan negara asing, pelbagai jenis dadah, beg sandang, beg tangan, enam seluar dalam, kunci kereta, kunci rumah, pelbagai dokumen dan kad akses.
"Kita turut merampas Toyota Camry berkenaan, manakala Ford Ranger yang terbabit ditemui dibakar di Kangkar Pulai di sini," katanya.
Menurut Noor Hashim, semua suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine dan hasil semakan mendapati lapan lelaki dan empat wanita daripada 17 suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.
Katanya, siasatan juga mendapati semua suspek adalah pengedar dadah sekitar daerah ini yang aktif kira-kira sebulan lalu yang mana dadah ini dijual secara perseorangan dan di pusat hiburan.
"Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Mayat remaja lelaki yang tidak bersekolah itu ditemui dengan separuh badannya tertanam dalam tanah dekat kebun durian dalam keadaan yang mula reput pada bahagian muka dan sudah berwarna hitam.
Hasil bedah siasat bagi menentukan punca kematian mendapati terdapat kesan lebam di bahagian badan dan kesan jerut di leher mangsa.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==