Lantik orang kalah, hukuman tidak sokong Ahmad Zahid

SINTOK: Tindakan melantik Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis baharu dilihat satu hukuman kepada kepemimpinan negeri yang tidak memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang mendapati tindakan mengetepikan tiga ketua bahagian di Perlis daripada memimpin UMNO negeri seolah-olah tidak mengiktirafkan keupayaan pemimpin sedia ada.
Beliau yang kini menjadi ADUN bebas berkata, UMNO Perlis tetap kukuh apabila memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerana mempunyai penyatuan dan gerak kerja yang dipimpin tiga ketua bahagian terbabit.
"Pelantikan orang luar yang kalah untuk memimpin yang menang bukanlah satu tindakan wajar ketika UMNO berdepan kemelut dan penyokong dijanjikan perubahan masa depan.
"Johor bukan kalah sikit tetapi kalah teruk dan yang hanya tinggal milik UMNO adalah Perlis serta Pahang. Kenapa pula, Mohamed Khaled perlu dilantik memimpin negeri yang dimenangi UMNO sedangkan Pahang pula dipimpin Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Saya juga ingin tahu, adakah pelantikan Mohamed Khaled sebagai hukuman ke atas tindakan dua bahagian iaitu Arau dan Padang Besar yang menyokong Khairy Jamaluddin manakala hanya Kangar menyokong Ahmad Zahid pada Pemilihan UMNO 2018," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Mohamed Khaled pada program Santai Yang Berhormat bersama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.
Perantara program itu adalah Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zahruddin Sani Ahmad Sabri.
Ismail berkata, biarpun UMNO Perlis kadangkala bergaduh, semua ahli dan pemimpinnya akan bersatu apabila ia membabitkan satu pasukan, hingga menyaksikan negeri ini mendapat majoriti undi yang besar.
"Namun apabila Mohamed Khaled dilantik memimpin Perlis, saya melihat UMNO akan terkubur di negeri ini kerana kepemimpinan Pusat masih tidak mahu berubah.
"UMNO perlu berubah jika mahu terus dihormati bukannya mengekalkan budaya lama iaitu menjadi Pak Turut, Yes Man atau menjadi tuan dalam parti sendiri.
"Lihat sahaja apabila Khairy Jamaluddin kritik sistem UMNO yang perlu diubah, kepemimpinan sedia ada sudah melabelkan atau menganggap beliau bukan sebahagian daripada UMNO. Jika ini berterusan, UMNO akan terkubur," katanya.
Pada Jun lalu, Ismail mengumumkan keluar UMNO selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Ismail menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu ketika berusia 28 tahun dan pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Perlis, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==