Sarimah bersedia jalani rawatan IVF

KUALA LUMPUR: Tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim bersedia menjalani rawatan kesuburan, In Vitro Fertilization atau IVF dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Sarimah, 40, berkata hasratnya itu turut mendapat sokongan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menggunakan kaedah sama untuk menimang zuriat.
"Cepat atau lambat Tuhan berikan rezeki, tetap ada hikmah di sebaliknya. Dari segi kesihatan, saya dan suami tidak ada masalah. Harapan saya, doa kami untuk mendapatkan anak sempena kedatangan Ramadan ini akan dimakbulkan," katanya.
Ditemui pada majlis pelancaran jenama alat solek miliknya, Thrill yang dilancarkan, semalam, Sarimah menjadi selebriti pertama yang menjalin kerjasama dengan portal beli-belah dalam talian, Lazada untuk memasarkan produknya.
"Sebelum ini, saya memang kuat bekerja. Kalau boleh semua benda saya mahu buat. Selepas usia mencecah usia 40-an ini, fokus saya adalah mahu mendapatkan zuriat.
" Disebabkan itu, saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya saya ada masa untuk berehat dan bersama suami," katanya yang pernah popular dengan lagu, Kini Kau Tiada.
Sarimah mendirikan rumah tangga dengan cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Jamie pada 2 April 2015.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==