Nasib Brazil di tangan Neymar


DUBAI: Legenda Brazil, Pele menyuarakan keyakinan mengenai peluang Brazil menjuarai Piala Dunia tahun ini dan menjangkakan pemain bintang Neymar akan kembali pulih untuk mengetuai cabaran pasukan itu di Russia.
Bekas Pemain Terbaik Dunia berusia 77 tahun itu menaruh harapan supaya penyerang Paris Saint-Germain, Neymar akan kembali beraksi selepas mengalami keretakan di bahagian kaki untuk membantu Brazil memburu gelaran keenam.
"Kami tak tahu apa yang akan berlaku, tapi saya fikir untuk Piala Dunia kali ini, dia akan kembali pulih kerana ia bukan kecederaan yang teruk," kata Pele yang menjadi satu-satunya pemain merangkul tiga gelaran Piala Dunia.
"Saya berharap dia mempunyai nasib yang sama seperti saya di Piala Dunia."
Neymar, pemain termahal di dunia terpaksa berehat sejak mengalami keretakan di bahagian tulang kaki kanannya pada 25 Februari lalu dalam saingan Ligue 1 menentang Marseille.
Minggu lalu dia mengesahkan masih lagi dalam proses pemulihan daripada pembedahan namun dijangka akan kembali pulih untuk beraksi pada Piala Dunia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Pada kempen Piala Dunia di laman sendiri empat tahun lalu, Brazil dimalukan dengan kekalahan 1-7 kepada juara Jerman pada separuh akhir namun Pele berasakan pasukan di bawah kendalian Tite memiliki keupayaan untuk melangkah jauh selepas mudah melepasi kelayakan zon Amerika Selatan.
"Saya yakin kerana Tite, jurulatih baru dan mempunyai sedikit masa untuk membentuk pasukan.
"Kami memiliki ramai pemain yang cemerlang di Eropah. Masalahnya adalah untuk mengumpul semua pemain beraksi bersama.
"Saya fikir kami mempunyai pasukan mantap bagi mengharungi Piala Dunia." - AFP

sumber: bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==