Fauzan kecewa hadiah JM2017 belum dapat


KUALA LUMPUR: Pelumba senior negara, Fauzan Lutfi mengakui kecewa kerana masih belum menerima hadiah wang kemenangan Jelajah Malaysia 2017 (JM2017).
Sebaliknya, pelumba PDRM itu gembira kerana sudah mendapat hadiah wang kemenangan Tour de Selangor 2017 (TdS 2017) yang dibayar minggu lalu.
"Saya lega kerana ia sudah dibayar walaupun lewat. Ia sebenarnya membantu kami sebagai pelumba profesional. Namun satu lagi perlumbaan (JM2017) masih belum membuat pembayaran.
"Saya difahamkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah memberi tempoh kepada penganjur hingga pertengahan bulan ini, jadi saya harap ia turut dapat diselesaikan secepat mungkin," jelasnya.
Fauzan menerusi laporan Sukan NSTP awal bulan lalu membangkitkan mengenai hadiah wang kemenangan kedua-dua perlumbaan itu yang masih belum dibayar walaupun ia diadakan tahun lalu.
"Situasi ini memberikan imej buruk kepada negara terutamanya dalam menganjurkan perlumbaan di pentas antarabangsa. Ada rakan pelumba dari pasukan luar negara bertanya mengenai hadiah wang kemenangan JM2017, sukar untuk saya menjelaskan kepada mereka," katanya.
Kedua-dua perlumbaan itu diuruskan LifeProFit Sdn Bhd yang dianjurkan Oktober lalu selain berada dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berstatus 2.2.
JM2017 menawarkan hadiah wang kemenangan sekitar RM166,000 manakala RM80,000 bagi TdS 2017.

sumber: bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==