Ibu pujuk suruh berlakon



KUALA LUMPUR: Pengalaman kehilangan insan tersayang secara mengejut ketika diri 'bergelut' dengan baki penggambaran, meninggalkan kesan mendalam buat pelakon, Sharifah Sakinah.
Sakinah, 29, tidak menduga diri diuji apabila ayah tersayang, Allahyarham Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman meninggal dunia, Januari lalu, ketika dirinya sedang menghabiskan baki penggambaran drama 13 episod arahan Michael Ang, Bimbi & Bonni.
"Saya menutup akaun Instagram selama seminggu selepas pemergian arwah. Kalau ikutkan hati, saya mahu berehat berlakon dan tidak mahu melakukan apa-apa.
"Saya mahu beramal sebanyak mungkin untuk membantu arwah di alam barzakh. Saya tahu, doa anak boleh membantu orang tua yang sudah menghadap Ilahi.
"Ketika itu, saya terikat dengan penggambaran drama Bimbi & Bonni dan arwah ayah sakit selama tiga hari sebelum meninggal dunia," katanya kepada BH Online.
Allahyarham Syed Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri, lima anak, cucu dan menantu di Hospital Ampang pada 11 Januari lalu.
Arwah yang dikenali dengan Sulaiman Kati, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas tiga hari dirawat.
Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired mengaku sukar berdepan situasi menyedihkan itu apabila terikat dengan kontrak dan baki penggambaran, apatah lagi watak Bimbi memerlukan dirinya beraksi seperti gadis 'bimbo' dan gedik.
"Saya tidak yakin melakonkan watak bimbo dan gedik ketika bersedih. Bagaimana mahu bergelak ketawa sedangkan jiwa bersedih?
"Lagipun, saya tidak mahu menjadi bahan umpat keji netizen. Mesti ada yang mengecam arwah bapa baru meninggal dunia tetapi sudah bergedik di lokasi penggambaran.
"Soal berpakaian juga diambilkira... Adab dan segala segi, semuanya saya jaga ketika itu," katanya.
Pelakon filem Pekak dan Kimchi Untuk Awak itu berkata, dia meminta Ang mencari pelakon lain untuk menggantikannya, tetapi tidak dipersetujui.
"Ketika arwah nazak, saya sudah berpesan pada Ang. Jika bapa tidak mampu diselamatkan, saya memintanya mencari pengganti kerana saya tidak boleh bekerja dalam kesedihan.
"Bagaimanapun, Ang faham dan sanggup menunggu kerana penggambaran drama sudah separuh disiapkan, mana mungkin memulakan penggambaran dari awal.
"Atas nasihat ibu, saya kembali bekerja selepas seminggu bercuti. Ibu pujuk saya selesaikan penggambaran dulu. Kata ibu, itu amanah dan janji yang dipersetujui sejak awal lagi," katanya yang bakal membintangi drama Bini Aku Dari Neraka tidak lama lagi.
Sakinah berkata, dia dan keluarga bersyukur arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarga.
"Kami sekeluarga tidak menjangka arwah akan pergi secara mengejut. Arwah sudah sakit lama tetapi tidak pernah teruk," katanya.
Tambah Sakinah, dia dan keluarga tidak sesaat pun meninggalkan arwah sendirian ketika beliau tidak sedarkan diri. Arwah menghembuskan nafas terakhir ketika anak, cucu dan menantu sedang membaca Yassin.
"Saya sedih hanya kerana terkejut dan tidak bersedia berdepan kehilangan orang tua. Namun, jauh di sudut hati, saya bersyukur arwah pergi dalam keadaan tenang.
"Saya percaya arwah ditempatkan di kalangan insan beriman dan beramal soleh kerana dijemput Ilahi pada hari Jumaat.

"Arwah bapa seorang yang sangat baik, mementingkan hubungan dan tidak pernah buruk sangka pada orang lain. Saya terkejut melihat begitu ramai saudara mara datang sehingga sesak jalan pada hari pengebumiannya," katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==