Hakim tinjau lokasi Kevin Morais diculik

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah yang mengendalikan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais meninjau kediaman mangsa di Kondominium Menara Duta, Jalan Dutamas Raya, di sini, tempat beliau diculik, pada 4 September 2015.


Beliau bersama pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, peguam V Rajehgopal, jurubahasa, kakitangan mahkamah serta enam tertuduh kes bunuh itu tiba di kondominium di Jalan Dutamas Raya, di sini, jam 9.45 pagi, hari ini.
Bagaimanapun, doktor tentera, Kolonel R Kunaseegaran, 55, yang juga tertuduh pertama kes itu hanya duduk di dalam trak polis yang membawa mereka ke lokasi berkenaan.
Mereka meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kondominium yang juga lokasi pertama tinjauan itu, yang mana dalam keterangan sebelum ini menunjukkan Kevin Morais dilihat keluar dari kediaman itu dengan memandu kereta Proton Perdana kira-kira jam 7.30 pagi, 4 September 2015.
Pasukan itu kemudian bergerak ke persimpangan lampu isyarat kira-kira 500 meter dari kondominium di persimpangan lampu isyarat Jalan Dutamas Raya iaitu tempat kereta yang dipandu oleh Kevin Morais dilanggar oleh pikap jenis Mitsubishi Triton, yang dipandu seorang tertuduh, S Nimalan dan dinaiki R Dinishwaran, A K Thinesh Kumar serta M Vishwanath.
Seterusnya, Azman, pasukan pendakwaan, pembelaan dan lima tertuduh itu meninjau lokasi terakhir yang terletak kira-kira 100 meter dari lampu isyarat berkenaan.
Lokasi itu adalah tempat Kevin Morais memberhentikan keretanya selepas dia dilanggar sebelum tinjauan ketiga-tiga lokasi yang mengambil masa 45 minit itu tamat.
Ketika tinjauan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu pemberita tinjauan itu adalah lawatan lokasi untuk memberi lebih pemahaman berkenaan kes itu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada 18 November 2016, pasukan itu meninjau sebuah paya di USJ 1, Persiaran Subang Mewah Subang Jaya, tempat tong dram berisi mayat mangsa ditemui pada 16 September 2015.
Dua hari sebelum itu, Azman, pasukan pendakwaan dan pembelaan serta semua tertuduh meninjau tiga lokasi di Hutan Melintang, Perak, yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.
Tiga lokasi itu ialah tempat penyimpanan barang kes di Balai Polis Hutan Melintang yang menyimpan rangka kereta terbakar milik mangsa, lokasi kereta itu ditemui di ladang sawit Sungai Samak dan lokasi mesin pencanai, jam tangan, beg, duit serta cincin milik mangsa ditemui di sebuah sungai di Kuala Selangor, Selangor.
Kunaseegaran bersama tiga penganggur, Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, dan pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 47, didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.
Semua tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Kevin Morais ditemui di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Perbicaraan di hadapan Azman bersambung esok.

sumber: bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==