UMNO harap PAS bantu kempen PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata terserah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding dengan PAS bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.

Bekas Perdana Menteri berkata, UMNO lebih mengetahui apa yang perlu dilakukannya dalam keadaan sekarang.
"Ia adalah fakta dalam kalangan penyokong PAS, mereka melihat komitmen UMNO terhadap Islam adalah lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH). Namun kita harus realistik sebab hubungan UMNO dan PAS sejak dulu lagi ada perasaan yang kita tidak boleh lupakan.
"Saya berharap rakyat sedar bahawa bukan perkara silam yang perlu kita lihat sebaliknya, masa depan yang mana kita perlu melakukan apa sahaja untuk menegakkan Islam dan pada masa sama tidak melupakan agama lain di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO memerlukan kerjasama PAS untuk membantu kempen calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada PRK Sungai Kandis.
Dalam pada itu, Najib menafikan dakwaan kononnya UMNO hanya memperjuangkan satu kaum dan agama.
"Saya menafikan UMNO hanya perjuangkan satu kaum kerana kita perlu melihat kepada sejarah Malaysia sejak merdeka. Kita memperjuangkan satu konsep bahawa kepentingan semua kaum diambil kira.
"Kita memberi bantuan lebih kepada orang Melayu sebab orang Melayu adalah majoriti dan ketinggalan kesan daripada legasi sejarah penjajah dahulu.
"Kita melihat kepada prinsip dan semangat Dasar Ekonomi Baru kerana kita tidak mahu satu kaum itu dikenali mengikut fungsi ekonominya," katanya.
Sementara itu, beliau berharap calon BN akan melakukan yang terbaik untuk memenangi PRK Sungai Kandis bagi menguatkan lagi suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan tetapi penting kenapa kita memerlukan keseimbangan yang baik dalam DUN. Kita tidak boleh mempunyai sebelah pihak yang terlalu berlebihan dalam DUN.
"Saya melihat sehari dua ini ramai rakyat yang kecewa dengan kerajaan baharu kerana banyak janji mereka tidak ditunaikan dan banyak 'U-turn' dari segi dasar dan banyak perkara yang dekat di hati pengundi, terutama orang Melayu hari ini dipersoalkan," katanya.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K Murthy.
Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.
Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.
Sumber  :  Sharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==