Shahidan minta jelaskan fasal Perlembagaan Perlis isu krisis MB

PARLIMEN | Krisis menteri besar Perlis yang terjadi selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 kini dibawa ke peringkat persekutuan apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) meminta parlimen menjelaskan fasal di dalam perlembagaan negeri Perlis.
Fasal yang dirujuknya adalah Artikel 39(4) Perlembagaan Perlis yang "memberi kuasa kepada Raja Perlis untuk melantik menteri besar tidak mengikut syarat-syarat yang mengehadkan kuasanya dalam melantik MB jika pada pendapatnya mustahak untuk berbuat demikian."
Ini kerana, kata Shahidan, Artikel 39(2) perlembagaan sama yang menyatakan Raja Perlis perlu melantik menteri besar "yang mengikut pertimbangannya akan mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan negeri (ADUN)".
"Pada pendapat saya, demi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, Rukun Negara perlu dijunjung, Artikel 39(2) dan 39(4) hendak dibaca dengan 39(6) demi menghormati PRU secara adil dan sakmasa, (kerana) rakyat memilih wakil rakyat di parlimen dan DUN.
"Pada pandangan saya, ada kelemahan ketara dalam undang-undang tubuh Perlis terutamanya dalam pentakrifan Artikel 39(4) di mana Raja boleh sesuka hati (melantik menteri besar) sepatutnya diolah dan termaktub dengan terperinci... secara ringkasnya, tiada sesiapa lebih tinggi daripada undang-undang," kata Shahidan, yang merupakan bekas pengerusi Umno Perlis, dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 24 Mei lalu, sembilan ADUN BN memboikot pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis, dengan mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti meskipun pelantikan itu dipersetujui pihak istana.
Shahidan juga berkata pelantikan Azlan sebagai meneteri besar jelas tidak mendapat sokongan majoriti memandangkan lapan ADUN membuat laporan polis berhubung pelantikan itu.
"Semua rakyat Malaysia termasuk penggubal undang-undang sendiri perlu mematuhi undang-undang dan seorang ADUN atau anggota parlimen yang telah dipilih oleh rakyat sama ada bapa atau anak, ibu atau anak, abang atau adik, kakak atau adik tidak boleh sama sekali dikatakan bakal jadi boneka atau puppet itu sendiri," katanya.
Sumber : malaysiakini
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==