Londeh seluar rakan, sebar video

GEORGETOWN: Lima remaja lelaki ditahan selepas membuli dan merakam video separuh bogel rakan mereka di kawasan kilang dekat Bayan Lepas, di sini.

Remaja lelaki berumur antara 15 hingga 17 tahun terbabit ditahan polis pagi semalam, selepas aduan dibuat mangsa yang berumur 15 tahun, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata dalam kejadian jam 12.30 pagi kelmarin, mangsa yang sedang berniaga minyak petrol dalam botol didatangi lima remaja terbabit.
"Ketika mangsa sedang bersembang dengan rakan lain, seorang daripada mereka memegang dan menanggalkan seluar mangsa, manakala seorang lagi merakam video menggunakan telefon bimbit dalam keadaan mangsa separuh bogel," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Anbalagan berkata, keesokan harinya mangsa menyedari video berkenaan disebar menerusi WhatsApp dan media sosial.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan lima remaja lelaki terbabit antara jam 9 hingga 11 pagi semalam bagi membantu siasatan.
"Seorang remaja ditahan di rumah, dua lagi di sekolah, manakala dua lagi di rumah mereka.
"Bagaimanapun, mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==