Kerajaan terus bercakap benar biarpun pelabur lari

GEORGETOWN: Kerajaan akan terus bercakap benar mengenai situasi ekonomi negara, walaupun ia mungkin tidak disenangi pelbagai pihak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata menyatakan kebenaran adalah prinsip pentadbiran kerajaan baharu dan wajar diterima semua pihak termasuk pelabur.
"Saya akan meneruskan prinsip bercakap benar, tetapi kalau bercakap benar menyebabkan pelabur lari, kita pun tidak mahukan mereka.
"Kita mahu pelabur yang boleh menerima kebenaran," katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di Lebuh Padang Tembak di sini, hari ini.
Menurut laporan, ada pelabur asing mula membawa keluar pelaburan sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dengan nilai ekuiti dibawa keluar mencecah AS$625 juta (RM2.48 bilion).
Aliran keluar ekuiti berkenaan adalah yang terbesar direkodkan negara selepas 23 Ogos 2013 yang menyaksikan aliran keluar ketika itu RM2.9 bilion.
Tindakan pelabur asing itu dipercayai didorong oleh keputusan kerajaan menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada sifar, bermula Jun lalu.
Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pelaksanaan manifesto PH akan mengambil masa berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak kukuh.
"Saya macam berbalik seperti 10 tahun lalu kerana terpaksa 'bersihkan' banyak perkara, cuma kali ini berskala lebih besar.
"Kita harap rakyat boleh faham, kita tidak mampu buat semua manifesto kerana kekangan kewangan tapi komited untuk melaksanakannya," katanya.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==