Ingatkan buaya, rupanya ikan tapah 100kg

Saya terbayang buaya ketika cuba mengangkat pukat yang berat, tetapi sebaik timbul saya gembira melihat ikan tapah yang sangat besar," kata nelayan sungai, Abdul Wahab Zakaria, 60.

Abdul Wahab dari Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, dekat sini, berjaya menangkap ikan tapah seberat 100 kilogram (kg) ketika keluar memukat bersama anaknya, Mohd Zubir, 29, di Sungai Ketil, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Dia yang juga dikenali sebagai Wahab Udang berkata, kebiasaannya pukat yang dipasang akan menaikkan ikan lampam, belida dan patin, tetapi tidak disangka rezekinya mendapat ikan tapah yang turut digelar penghulu ikan hari ini.
"Saya mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengangkat ikan tapah itu masuk ke dalam bot kerana ia terlalu berat dan licin sehingga memaksa kami menggunakan tali mengikat lembu untuk diikat pada bahagian kepala ikan itu.
"Selepas lebih 20 tahun menangkap ikan di sungai, ini adalah kali pertama saya berjaya menaikkan ikan tapah sebesar ini kerana kebiasaannya hanya ikan tapah seberat 20 hingga 25 kg dapat ditangkap," katanya ketika ditemui.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia percaya dengan tertangkapnya ikan bersaiz besar itu, membuktikan ikan tapah masih banyak di sungai berkenaan biarpun ramai mengatakan ia tidak wujud.
"Saya menjual ikan terbabit kepada kepada pengusaha restoran masakan Cina di Sungai Petani pada harga RM40 sekilogram dengan harga keseluruhan kira-kira RM4,000," katanya.
Sementara itu, Mohd Zubir yang kerap menemani bapanya berkata, ini adalah pengalaman paling berharga kerana berpeluang melihat tapah sebesar itu di depan matanya sendiri.
"Saya berharap dengan rezeki yang diperoleh hari ini akan membuat kami sekeluarga dimurahkan rezeki dan mendapat hasil yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==