'Hentikan Grab sehingga...'

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 pemandu teksi berhimpun di Padang Merbuk di sini, hari ini bagi menuntut perkhidmatan e-hailing seperti Grab dihentikan sehingga kerajaan menetapkan akta dan peraturan rasmi mengenainya.

Mereka turut menuntut perkhidmatan e-hailing sedia ada menggunakan kenderaan sah seperti teksi, teksi mewah, van pelancongan dan semua kelas kenderaan yang mempunyai lesen pengendali, bukannya kenderaan persendirian seperti sekarang.
Pada perhimpunan itu, mereka cuba menyampaikan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kumpulan diketuai Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd Hussain, mula berkumpul seawal jam 9 pagi sebelum cuba berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Loke tetapi dihalang pihak polis.
Selepas berbincang dengan pihak polis diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, mereka bersetuju untuk tidak berarak.
Polis kemudian membenarkan empat wakil bertemu Setiausaha Politik Loke, Datuk Dahlan Maamor, yang hadir di lokasi perhimpunan untuk menerima memorandum terbabit.
Kamarudin berkata, pihaknya tidak meminta e-hailing dihapuskan sebaliknya diguna pakai secara betul dan hanya kepada pemandu teksi konvensional.
"Kenderaan yang melanggar peraturan diberi tempoh maksimum tiga bulan mematuhi peraturan tetapi Menteri Pengangkutan memberi tempoh setahun (kepada pemandu e-hailing)," katanya.
Pada 11 Julai lalu, Loke berkata, perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia kerajaan bermula 14 Julai lalu melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017.
Antara syaratnya adalah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui PUSPAKOM.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==