Ayu tidak mahu tinggal di pondok

GUA MUSANG: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang berkahwin dengan seorang peraih getah, enggan tinggal di pondok pengajian agama sama ada di Thailand atau negeri ini kerana tidak mahu berpisah dengan suaminya.

Dia yang dikenali sebagai Ayu, mahu terus tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Panggong Lalat, sambil meneruskan pengajian al-Quran di sini, sehingga usianya 16 tahun.
Ibu kanak-kanak itu yang berusia 47 tahun berkata, dia sudah beberapa kali memujuk Ayu supaya tinggal di pondok pengajian agama.
"Tapi Ayu menolaknya kerana lebih selesa dan berminat menerus pengajian al-Quran di kampung ini.
"Suaminya turut menasihati Ayu supaya tinggal di sekolah pondok sama ada di Thailand atau di mana-mana saja di Kelantan sehingga umur 16 tahun.
"Dia menolak dengan alasan ingin mengaji al-Quran dahulu dan tinggal bersama keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggong Lalat, di sini, hari ini.
Pernikahan kanak-kanak perempuan 11 tahun warga Thailand itu dengan peraih getah berusia 41 tahun, di sebuah masjid dekat Sungai Golok, Selatan Thailand pada 18 Jun lalu, menjadi tular kerana membabitkan pernikahan bawah umur.
Berikutan itu, peraih getah yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis itu, didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan baru-baru ini.
Peraih getah itu dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Ibu kanak-kanak itu menyifatkan isu pernikahan anaknya itu sudah selesai apabila mereka dalam proses mendapatkan sijil nikah yang sah.
Beliau berkata, anak perempuannya itu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terakhir di Hospital Gua Musang (HGM) pada 1 Ogos ini.
"Apapun, kami sebagai ibu bapa Ayu berpegang kepada janji peraih getah itu kebenaran tinggal bersama apabila mencapai umur 16 tahun," katanya.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==