Kerajaan diminta serius lindung reka cipta

PARIT BUNTAR: Kerajaan disaran mewujudkan satu badan khas bagi melindungi reka cipta yang dihasilkan oleh rakyat negara ini dicetak rompak.
Menurut seorang pereka cipta, Md Nayan Salleh, 63, akta sedia ada tidak mampu melindungi ciptaan dan inovasi yang dihasilkan golongan sepertinya daripada menjadi mangsa ciplak.
"Akta Paten 1993 masih tidak mampu melindungi pereka cipta apabila reka cipta mereka diciplak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menyebabkan ramai pereka cipta enggan menghasilkan reka cipta baharu," katanya di sini, hari ini.
Pengarah Urusan Kitaran Potensi Sdn Bhd itu yang sudah 22 tahun terbabit dalam bidang reka cipta mendakwa turut menjadi mangsa apabila Produk Sistem Penyaringan dan Pengasingan Sisa Makanan, Lemak dan Gris (Simpak) yang beliau patenkan pada 1 Januari 2009 diciplak sehingga beliau kerugian kira-kira RM1 juta.
"Kerajaan terutama Kementerian Kewangan hendaklah mewajibkan mana-mana syarikat yang mahu memasuki tender wajib menyenaraikan paten yang didaftarkan dengan Akta Paten bagi mengelak ciptaan diciplak," sarannya.
Sehubungan itu, Md Nayan berkata beliau kini menangguhkan penghasilan kira-kira lapan inovasi baharu termasuk pri-Aedes (pemusnah riwayat Aedes) yang tidak menggunakan sebarang bahan kimia sebaliknya hanya gelombang untuk memerangkap nyamuk.
"Penggunaan racun tidak akan musnahkan nyamuk dan boleh merosakkan alam sekitar," katanya yang tidak mahu mengeluarkan reka cipta berkenaan kerana bimbang ia diciplak.
Md Nayan mencatat kejayaan apabila menggondol tiga anugerah reka cipta bertaraf antarabangsa, termasuk satu pingat emas dan dua perak dalam Pertandingan Reka Cipta Sains Peringkat Antarabangsa di Geneva, Switzerland pada 1996, 1997 dan 1998 serta menerima anugerah Genius Negara (2003), Anugerah Inovasi Negara ( 2015) dan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan pada 2009. -BERNAMA
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==