Dr Wan Azizah dijangka beri laluan kepada Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dijangka memberi laluan mudah kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika masing-masing menerima pencalonan bagi jawatan tertinggi pada pemilihan parti itu, Ogos ini.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata Dr Wan Azizah dilihat sanggup berundur jika Anwar mahu kembali aktif sebagai ahli politik yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen.
"Memang wujud dua kem dalam pemilihan PKR iaitu kem yang menyokong Dr Wan Azizah dan satu lagi kem yang menyokong Anwar, namun dibelakang kem yang menyokong Anwar adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Sekiranya Anwar berhasrat bertanding jawatan presiden, isterinya akan memberi laluan mudah dan Anwar dijangka mengosongkan jawatan Ketua Umum parti itu.
"Jika ini berlaku, tidak akan ada pertandingan presiden dan Anwar akan menang tanpa bertanding," katanya.
Ainul Adzellie berkata, sekiranya Anwar bertanding jawatan presiden, Azmin pula dijangka mempertahankan jawatannya sebagai timbalan dan kemungkinan Rafizi Ramli akan mencabar jawatan nombor dua, jika Naib Presiden PKR itu dilantik sebagai Senator.
Beliau turut menjangkakan akan berlaku persaingan sengit bagi merebut jawatan naib presiden.
Sementara itu, pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata kewujudan dua kumpulan itu bukan sahaja memanaskan pemilihan parti terbabit, malah akan menentukan kem mana yang akan menguasai Kerajaan Persekutuan.
"Jika diandaikan Anwar kekal sebagai Ketua Umum dan Dr Wan Azizah sebagai presiden secara tanpa bertanding, perebutan jawatan lain adalah manifestasi pertembungan proksi di antara dua kem ini.
"Pemilihan dijangka sengit kerana kedua-dua kem pasti mahu penyokong mereka dapat memegang jawatan lain dalam parti. Ini bukan sahaja akan menentukan penguasaan parti tetapi juga penguasaan Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.
BH hari ini melaporkan PKR dilanda dilema menjelang pemilihan parti itu apabila wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan jawatan presiden.
Satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan sebagai presiden parti, manakala satu lagi mahu beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==