Pelajar maut dirempuh kenderaan tunda

RANAU: Perjalanan pulang dua pelajar perempuan bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut dirempuh sebuah kenderaan tunda di Jalan Ranau-Telupid berhampiran Kampung Matupang, di sini, semalam.
Dalam nahas jam 3.30 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matupang, Nor Aliz Khairunnisya Azazahari, 16, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Elcy Hairyson, 15, patah kaki kanan selain luka pada bahagian kepala.



Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan mendapati pemandu kenderaan tunda iaitu lelaki berusia 33 tahun memandu dari arah Ranau menghala Telupid untuk menarik sebuah kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan.
Katanya, kemalangan terdahulu itu membabitkan mangsa lelaki yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dipandunya dari arah Kota Kinabalu memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori.
"Apabila tiba di selekoh ketika dalam perjalanan untuk menarik Toyota Land Cruiser, kenderaan tunda itu terbabas ke bahu kanan jalan lalu melanggar dua pelajar yang berjalan kaki ketika hampir tiba di rumah mereka.
"Akibat itu, pemandu kenderaan tunda berkenaan patah kaki kanan dan mengalami kecederaan dalaman sebelum semua mangsa dihantar ke hospital Ranau," katanya dihubungi di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan terdahulu pada kira-kira jam 2 petang, pemandu Toyota Land Cruiser, Sulaiman Ariato, 28, maut, manakala dua penumpang kenderaan itu cedera parah.
"Kedua-dua kes kemalangan di lokasi berbeza itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==