Ocean Geos terbakar, 1 hilang, 2 cedera

MIRI: Seorang hilang manakala dua cedera dalam tragedi kebakaran kapal sokongan pesisir minyak dan gas Ocean Geos yang membawa 39 anak kapal di Perairan Kuala Baram di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Hafiz Ismail, 36, melecur 20 peratus di bahagian badan dan Khairul Isma Ismail, 35, luka di bahagian muka dan sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan.
Bagaimanapun, identiti mangsa yang hilang masih belum didedahkan tetapi mangsa disahkan sebagai rakyat Malaysia.
Pengarah Maritim Daerah Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman, berkata sebuah bot Penggalang 23 dan KM Siakap milik APMM sudah dikerahkan ke lokasi bagi mencari mangsa, dibantu kapal Hisyam 8 dan Neoptro 18.
Katanya, kebakaran di luar kapal berkenaan sudah dipadam tetapi masih berlaku kebakaran di bahagian dalam kapal.
"Usaha untuk memasuki kapal berkenaan sukar berikutan terdapat gas beracun dan berbahaya,
"Namun begitu, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan," katanya ketika sidang media di pejabat APMM sebentar tadi.
Katanya, lima anak kapal adalah warga Indonesia, seorang warga Thailand manakala selebihnya rakyat Malaysia.
Kapal berkenaan dilaporkan terbakar selepas bilik enjinnya meletup kira-kira jam 3 pagi tadi dengan kedudukan kapal pada jarak 10 kilometer dari pantai Kuala Baram.

Operasi menyelamat dilancarkan pada jam 3.15 pagi tadi.

sumber: bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==